Ahad, 15 Februari 2009

Sirih Pinang: Simbol Budaya Melayu



Tradisi makan sirih merupakan warisan budaya silam dan tradisi ini masih diamalkan dengan meluas di rantau Asia Tenggara. Tradisi ini tidak dapat dipastikan dari mana asalnya. Ianya dikatakan berasal dari India, berdasarkan cerita-cerita sastera. Manakala jika berdasarkan bukti linguistik, kemungkinan besar tradisi ini berasal dari kepulauan Indonesia.

Pelayar terkenal Marco Polo pada abad ketiga belas ada menulis dalam catatannya bahawa terdapat segumpal sentil atau songel tembakau dimulut kaum India. Kenyataan ini dijelaskan juga oleh penjelajah terdahulu daripadanya seperti Ibn Batuta dan Vasco Da Gama yang menyatakan terdapat masyarakat di sebelah Timur yang memakan sirih.

Sementara di Malaysia, tradisi ini dikatakan mungkin bermula tanpa pengaruh luar. Masyarakat India menyatakan bahawa sirih pada mulanya bukan untuk dimakan, tetapi adalah sebagai bahan persembahan sewaktu sembahyang di kuil-kuil sahaja. Beberapa helai daun sirih akan dihidangkan bersama-sama sebelah kelapa yang telah dibelah dua berserta dua biji pisang emas sebagai persembahan untuk dewa.

Kini sirih menjadi popular dikalangan masyarakat Melayu, selain dimakan oleh masyarakat marhaen, sirih juga sebagai dianggap sebagai simbol adat resam dan adat istiadat Melayu yang telah menjadi suatu kepastian di dalam beberapa upacara seperti dalam urusan nikah kahwin, perubatan tradisional dan banyak lagi adat adalah sebagai contoh dimana sirih itu digunakan secara beradat sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan